MUSLIM MEMBELA ANJING SEBAGAI HAIWAN KESAYANGAN
Pada zaman kini ada beberapa golongan dari umat islam sendiri mempunyai pelbagai tanggapan bahawa membela anjing sebagai haiwan kesayangan adalah dibolehkan atas dasar keprimanusiaan.Namun begitu, saya akan ulas beberapa perkara dan akan jelaskan satu persatu agar ia mudah difahami dan boleh diterima ramai.
Namun begitu,ia bukan bermakna islam membenci haiwan anjing dan melarang untuk berbuat baik kepada anjing Dalam al-Quran Allah menceritakan tentang anjing yang mengiring para pemuda al-Kahfi dan turut bersama mereka semasa berjuang menghadapi rejim yang zalim pada zaman mereka. Firman Allah:
(maksudnya) “dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedangkan anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa amat gerun takut kepada mereka.” (Surah al-Kahfi, ayat 18).
Anjing tersebut melambangkan binatang yang bersahabat dengan para pejuang kebenaran. Anjing itu lambang kemuliaan. Sesetengah riwayat yahudi menamakan anjing itu ‘qidmir’.
Sementara dalam hadis pula, Nabi s.a.w bersabda: “Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).
Walaupun seorang pelacur yang buruk sekalipun diampuni dosanya oleh Allah kerana dengan ikhlas memberikan minum kepada seekor anjing. Bagaimana mungkin untuk kita menganggap bahawa Islam tidak menilai sebagai satu perbuatan yang baik jika muslim memberi makan dan minum kepada anjing?!! Jika ada orang muslim yang memberi makan kepada anjing patutlah dipuji.
Sebelum meneruskan perbincangan ini, hukum memegang anjing juga perlu melihat beberapa perkara dan merujuk kepada 4 mazhab terlebih dahulu bukan semberono meletakkan hukum secara mutlak.
Hukum memelihara anjing di rumah oleh orang Islam sebagai haiwan peliharaan (pet) adalah haram melainkan untuk tujuan muktabar yang termasuk dalam keperluan dan kemaslahatan. Antaranya adalah untuk tujuan:
i. Perburuan; anjing yang digunakan bukanlah anjing "comel" dijadikan "teman" untuk bermanja, tetapi anjing yang garang atau tahan lasak dan sesuai dijadikan untuk berburu. Walau bagaimanapun, Islam hanya membenarkan perburuan adalah untuk mendapatkan makanan, bukan memburu kerana sukan, suka-suka dan berseronok-seronok kerana Islam tidak membenarkan haiwan dibunuh atau diseksa atau diusir dari tempat yang lazim mereka tinggal, hanya untuk suka-suka;
ii. Anjing pemandu jalan; untuk dijadikan anjing pemandu jalan seperti untuk orang buta sekiranya amat memerlukan dan tiada orang lain yang dapat membantu;
iii. Keselamatan; untuk tujuan keselamatan pihak berkuasa seperti Polis dan Kastam, dan juga untuk mengawal keselamatan di sekitar rumah;
iv. Membantu penternakan haiwan.
1. Perbuatan memegang anjing secara sengaja, tanpa sebarang sebab yang dibenarkan dalam Islam akan menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam kerana ianya bercanggah dengan pegangan mazhab dan uruf di Malaysia. Menurut mazhab syafie, umat Islam adalah dilarang menyentuh anjing secara sengaja kerana menajiskan diri tanpa tujuan yang munasabah adalah haram di sisi Islam.
2. Walaupun Islam meletakkan kaedah sertu apabila terkena najis yang dikategorikan sebagai mughallazah namun kaedah tersebut bukanlah alasan untuk membolehkan seseorang itu memegang najis mughallazah secara sengaja. Tindakan tersebut samalah seperti orang yang sengaja melakukan dosa dengan alasan akan bertaubat kemudiannya.
3. Perbuatan mana-mana orang Islam yang memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan (pet) akan disalah tafsir dan dilihat seolah-olah cuba mencipta budaya baru yang boleh membawa kepada perbuatan menghina agama Islam. Oleh yang demikian, mereka perlu segera meninggalkan perbuatan tersebut dan kembali bertaubat kepada Allah.
4. Justeru, umat Islam dinasihatkan agar tidak menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan. Ini kerana Islam mewajibkan umatnya untuk memelihara kesucian diri, pakaian dan tempat tinggal agar ia tidak menjejaskan amal ibadah seharian.
Bolehkah muslim memegang anjing?
Ada yang menyatakan haram memegang anjing kerana najis. Kalau kerana ia najis haram dipegang, maka haram juga seseorang menyentuh najis dirinya, ataupun anaknya ataupun sesiapa di bawah jagaannya ketika membersihkannya. Haramlah juga mereka yang berkerja yang membabitkan bahan-bahan bernajis seperti mencuci tandas ataupun darah ataupun nanah dan lain-lain. Begitu juga dengan doctor veterinar. Maka itu kesimpulan hukum yang kurang kemas.
Sebenarnya, para ulama berbeza pendapat mengenai hukum menyentuh najis tanpa keperluan. Mereka bersepakat membolehkan menyentuh najis jika ada keperluan. Dalam kalangan fuqaha ada yang memakruhkan menyentuh najis tanpa keperluan. Ada mengharamkan jika tanpa keperluan. Adapun menyentuh najis disebabkan keperluan tertentu maka semuanya sepakat dibolehkan.
Apakah anjing itu najis jika disentuh?
Menyentuh anjing yang kering sepakat ulama tidak memindah najis. Ini sehingga disebut oleh para fuqaha جاف على جاف طاهر بلا خلاف bermaksud sesuatu yang kering menyentuh yang kering maka bersih (tidak memindahkan najis) tanpa perbezaan pendapat. (lihat: Abu Harith al-Ghazzi, Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 11/1177, Beirut: al-Risalah).
Adapun menyentuh anjing yang basah berlaku khilaf pendapat dalam kalangan fuqaha (sarjana fekah). Pendapat Mazhab Syafie dan salah satu riwayat dalam Mazhab Ahmad bin Hanbal ialah anjing keseluruhannya adalah najis, termasuk bulunya. Sementara pendapat Mazhab Malik, anjing itu kesemuanya bersih termasuk air liurnya. Adapun Mazhab Hanafi dan salah satu pendapat lain daripada al-Imam Ahmad bahawa bulu anjing itu bersih, sementara air liurnya najis. (lihat: Ibn Taimiyyah, al-Fatawa al-Kubra, 1/264. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah)
Maka dengan itu, majoriti fuqaha (ahli fekah) iaitu jumhur Mazhab Hanafi, Malik dan salah satu riwayat Mazhab Ahmad bin Hanbal berpendapat menyentuh badan atau bulu anjing sekalipun basah adalah tidak najis. Adapun air liur anjing mereka khilaf mengenainya. Pada pendapat kita ia najis berdasarkan hadis: “Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Memelihara anjing dalam rumah?
Adapun memelihara anjing dalam rumah tanpa sebab adalah tidak digalakkan oleh Islam. Nabi s.a.w bersabda:
مَنْ أَمْسَكَ كَلْبًا يَنْقُصْ مِنْ عَمَلِهِ كُلَّ يَوْمٍ قِيرَاطٌ إِلَّا كَلْبَ حَرْثٍ، أَوْ كَلْبَ مَاشِيَةٍ
“Sesiapa yang memelihara anjing maka berkurangan pahalanya setiap hari sebesar qirat kecuali anjing (jaga) tanaman ataupun (jaga) ternakan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Qirat itu sebesar Bukit Uhud. Berdasarkan hadis ini, maka sekurang-kurangnya memelihara anjing tanpa sebab yang disebutkan berada pada hukum makruh. Ada ulama yang mengharamkan. Namun hadis di atas tidak menyebut dosa, tetapi pengurang pahala sahaja. Maka, hukum makruh dipilih oleh sebahagian fuqaha. Hikmahnya, mungkin atas beberapa sebab yang berkaitan kerohanian dan kemasyarakat.
Islam menyuruh kita mengalukan tetamu. Bukan semua orang suka dengan anjing. Baunya dan juga salakannya boleh menakutkan sesetengah orang. Sesiapa yang pernah pergi ke rumah pemelihara anjing, atau menaiki kenderaan yang ada anjing dia akan tahu baunya yang bukan semua orang dapat bertahan. Salakan anjing dan bulu-bulu di sana-sini bagaikan tidak mengalu-alukan tetamu. Sedangkan Islam agama kemasyarakatan dan hubungan baik antara jiran, saudara-mara dan sahabat handai.
Dari segi keselamatan dan kesihatan juga mempunyai kemerbahayaannya. Gigitan anjing, najis serta jilatannya merbahaya. Banyak penyelidikan yang telah dibuat tentang hal ini. Apabila Islam cuba mengelakkan bahaya anjing yang dipelihara dalam rumah dengan melarang penganutnya berbuat demikian, bukan itu bererti penindasan terhadap anjing. Betapa banyak binatang yang manusia elakkan dari menghampirinya kerana kemerbahayaannya. Itu semua bukan bererti penindasan atau kekejaman!
Dalam hadis tadi, Nabi s.a.w bersabda: “Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah”
Untuk mengelakkan jilatan anjing yang sentiasa menjelir lidah, yang dianggap najis dari segi agama dan juga bahaya dari segi saintifiknya maka Islam melarang untuk kita memelihara anjing di dalam rumah tanpa alasan yang diizinkan.
Maka dengan ini, berakhirlah pengulasan daripada saya tentang isu yang hangat diperkatakan saban hari dan menjadi topik hangat serta perbalahan dalam kalangan masyarakat walaupun sering diperjelaskan namun masih ada yang keliru dan mengelirukan orang ramai agar bersependapat dengan mereka walhal islam itu mudah dan luas namun disempitkan oleh umatnya itu sendiri.


Comments
Post a Comment